Tuesday 1 November 2011

AUKU tak bercanggah Perlembagaan: Pakar


Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2011/11/01


KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan dan pengamal undang-undang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung peruntukan 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak bermakna akta berkenaan tidak sah atau bercanggah sepenuhnya dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, ia hanya membabitkan peruntukan yang melarang penuntut universiti menunjukkan sokongan, menyatakan rasa simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik, di dalam atau luar negara.Pakar undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, berkata keputusan itu memberikan gambaran bahawa mahkamah melaksanakan tanggungjawabnya untuk membuat tafsiran terhadap undang-undang berdasarkan prinsip menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.


“Kita raikan keputusan ini kerana AUKU itu sendiri mempunyai banyak persoalan mengenai sama ada pelajar universiti boleh menyertai politik, berpersatuan atau memberikan pendapat mereka (kebebasan untuk bersuara) seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan (menerusi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan). 

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa mahkamah mengiktiraf hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan, di mana mahkamah membuat tafsiran ke atas undang-undang berkenaan berasaskan prinsip menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,” katanya kepada Berita Harian, semalam. 

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan selepas permohonan mengenai perkara itu dikemukakan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mencabar peruntukan 15(5)(a) AUKU selepas mereka dikenakan tindakan oleh UKM kerana berada di Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil di kawasan itu April tahun lalu. 


Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha sebelum ini mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan UKM di bawah peruntukan AUKU tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang serta mencabarnya di mahkamah kerana bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Shamrahayu juga berkata, kerajaan masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan mengenai keputusan itu yang dianggap bersejarah dan bakal menjadi nas undang-undang dalam kes berkaitan. 
Pengamal undang-undang, Datuk Hafarizam Harun pula berkata keputusan mahkamah itu menunjukkan perkembangan undang-undang lazim (common law) di negara ini progresif.

“Saya lihat keputusan ini secara tidak langsung menunjukkan pemisahan kuasa yang jelas antara badan eksekutif, kehakiman dan perundangan negara. Walaupun undang-undang itu digubal di Parlimen tetapi ia masih boleh dikaji badan kehakiman dengan meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai asasnya,” katanya. 

No comments:

Post a Comment